Manakala redha ialah berlapang dada atau menerima segala perkara dengan hati yang ikhlas terhadap sesuatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah.
Salah satu takrif redha adalah seperti yang disebutkan oleh Ibnu ‘Athoillah as-Sakandari :
“ Redha ialah hati meyakini qadimnya pilihan Allah Ta’ala terhadap hambaNya iaitu meninggalkan sifat marah ”
Sering kali kita dengar,
“Aku sudah berusaha dan aku bertawakal, tapi kenapa aku tidak dapat apa yang aku minta?”
Saya yakin bahawa setiap orang tahu akan konsep tawakal ini.
Tapi, berapa ramai yang faham? Kita sebagai hamba Allah, sering meminta itu dan ini sekadar untuk memuaskan hati (sebenarnya nafsu) masing-masing. Kadang-kadang apa yang kita minta untuk dipermudahkan sesuatu perkara, tetapi yang terjadi adalah yang sebaliknya. Saya yakin, tiada orang bersusah-susah memohon kepada Allah untuk hidup susah. Tiada yang sibuk-sibukkan diri kepada Allah memohon, “Ya Tuhanku, mudah-mudahan exam kali ini biarlah susah”.
Semua orang minta untuk hidup senang.Tapi, tahukah anda? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Dia tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-hambanya. Sebagaimana yang telah tertulis dalam Al-Quran,
“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
[2:216]
Mari kita renungkan satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Al-Abbas Abdullah bin Abbas r.a. maka katanya,
“Adalah aku berkenderaan duduk di belakang Rasulullah s.a.w. pada suatu hari. Maka katanya kepada aku: Hai ghulam, bahawasanya aku ajarkan kepadamu beberapa kalimat: Peliharakanlah Allah supaya Dia pelihara engkau pula. Peliharakanlah Allah supaya engkau dapati Dia pada betulan engkau. Apabila engkau hendak meminta sesuatu barang, maka pintalah kepadaNya. Apabila engkau menuntut tolong, maka tuntutlah kepadaNya. Ketahuilah sekiranya bersetuju sekalian umat hendak memberi engkau manfaat, tiadalah dapat mereka memberi engkau manfaat melainkan dengan suatu yang telah ditentukan olehNya atas engkau. Bahawasanya telah diangkat qalam daripada menuliskannya dan telah kering pula bukunya.”
[Hadis riwayat Tarmizi]
Dan dalam satu hadis yang lain pula,
“Peliharakanlah Allah supaya engkau dapati ia dihadapan engkau, kenali atau ingatlah Allah ketika engkau dalam kesenangan, supaya ia mengenal engkau ketika dalam kesusahan. Ketahuilah, bahawasanya apa-apa yang tersalah datangnya kepada engkau, tiadalah ia boleh mengena engkau. Begitu juga apa-apa mengena kepada engkau tiadalah tersalah datang kepada engkau. Ketahuilah, adalah beroleh bantuan itu serta sabar, kelapangan itu serta sangat kesusahan dan beserta kesukaran itulah datangnya kemudahan.”
Apa yang boleh kita faham daripada dua hadis ini?
Hadis ini menuntut setiap muslim dan muslimat untuk memelihara Allah. Tapi bukan bermaksud Allah itu lemah sehingga memerlukan peliharaan daripada kita. Bukan, bukan seperti itu. Sebenarnya kita yang sangat-sangat memerlukan Allah dalam hidup kita. Diri kita yang memerlukan tempat bergantung. Andai kata kita beriman, tunduk patuh kepadaNya dan menolong agama Allah, kita yang dapat ganjarannya. Dan sekiranya kita ingkar dan melakukan banyak kemungkaran berbanding kebaikan, kita jugalah yang akan menerima balasan azab seksa daripada Allah. Allah sedikitpun tidak terluak atau terusik.
Cuba anda fikir dan renung-renungkan. Adakah anda pernah meminta ‘barang’ dengan Allah?
Mungkin seperti tidak logik seandainya kita meminta, “Ya Allah, aku perlukan tisu sekarang.” Tetapi itulah yang sebenar-benarnya. Memang kita tidak ada tempat pergantungan yang lain selain kepada Allah. Mintalah, insyaAllah akan dipermudahkan sekiranya kita yakin. Tetapi tidaklah sampai tisu turun dari langit, mungkin Allah gerakkan hati-hati manusia disekeliling anda untuk memberi tisu kepada anda.
Bagaimanapun, kita perlu redha dengan ketentuan dan ketetapan yang Allah berikan. Memang bukan semua yang kita mahukan akan dapat ditunaikan. Ingatlah Allahlah yang paling Maha Mengetahui dan Maha Adil. Dia tahu semua perkara yang sesuai bagi setiap satu hamba-hambanya, dan segala nikmat kurniaannya merupakan suatu anugerah yang terbaik. Tidak perlu untuk kita mengeluh dengan kesusahan, ataupun komen apa-apa yang telah diberikan kepada kita.
Sebab kepada siapa sebenarnya kita keluh dan komen itu kalau bukan kepada Allah? Fikir-fikirkanlah.
CREDIT TO: HERE