BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 10, 2011

ketenangan itu ada di situ..


Ketenangan jiwa, kekuatan hati, kelapangan kalbu, adalah apa yang manusia cari. Ada yang mencarinya dengan duit yang bertimbun, merasakan duit yang banyak menghilangkan keresahan. Ada yang mencarinya dengan mendapatkan pasangan, merasakan pasangannya mampu mengisi kekosongan. Ada yang mencarinya dengan menyendiri, merasakan apabila dirinya bersendirian maka segala gelisah akan hilang.


Tetapi ramai yang tidak bertemu dengannya. Bagaimana mencarinya pun, tetap akhirnya ketenangan dan kelapangan yang didapati itu tidak bertahan. Maka ramai yang tertanya-tanya, apakah yang perlu dilakukan, untuk mendapatkan ketenangan sejati.
Jika soalan ini diberikan kepada saya, maka saya akan menjawab:
“Dengan membersihkan diri.”







Hati itu milik siapa?
Di manakah letaknya ketenangan, kelapangan, dan kesenangan di dalam diri manusia? Dari manakah rasa itu terbit? Dari tangan? Kaki? Perut? Tidak dan tidak.
Tetapi daripada hati. Bukan hati organ. Tetapi ‘hati’. Roh. Yang tidak kelihatan itu.
Kita kembali bertanya, hati itu milik siapa?
Ya, siapakah pencipta kepada hati?
“Allah.” Dan roh kita menjawab.
Maka perjalanan mencari ketenangan adalah bermula dengan jawapan kita itu.

Punca keresahan dan kegelisahan
Mengapakah hati yang diciptakan Allah SWT itu resah dan gelisah? Ya, kenapa?
Kerana hati itu terpisah jauh dengan penciptaNya.
Hati adalah tempat terkandungnya fitrah asal manusia. Sejahat mana pun manusia, apabila mereka melakukan kejahatan mereka, tidak dapat tidak mereka akan dapat mendengar ‘suara hati’ mereka membantah perbuatan mereka. Ya, ini adalah realiti. Tinggal, mereka tetap terus melakukan kejahatan kerana mereka tidak menyahut seruan hati mereka itu.
Fitrah hati adalah taat dan tunduk kepada Allah SWT.
“Bukankah Aku ini Rabb kamu? Mereka menjawab: Iya, kami menjadi saksi.” Surah Al-A’raf ayat 172. Itulah dia perbualan Allah dengan roh-roh sebelum roh-roh dimasukkan ke dalam tubuh kita.
Fitrah kita adalah rapat denganNya. Menjauhi Allah, adalah punca keresahan dan kegelisahan kita. Apakah perkara-perkara yang menjauhkan kita daripada Allah SWT?
Hendak menyenaraikannya pasti panjang. Maka cukup saya konklusikan semua jawapan dengan satu kalimah.
Dosa.



Bersihkan diri, rapati Ilahi, dapatkan ketenangan sejati
Kadangkala kita hairan melihat Rasulullah SAW yang menghadapi ujian dan dugaan yang amat hebat, tetapi baginda kekal tenang di dalam kehidupan. Tidak pernah kedengaran baginda tertekan hingga memarahi isteri dan anak-anak. Tidak pernah kedengaran baginda ‘lost control’, tidak pernah kedengaran baginda mengeluh dan merungut. Baginda tenang, hatta di tengah kancah peperangan.
Mengapa?
Kerana baginda menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Kadangkala kita hairan melihat Abdurrahman bin Auf RA, Suhaib Ar-Rumy RA, Uthman ibn Affan RA, yang merupakan golongan kaya, tetapi meninggalkan semua harta mereka ketika hijrah. Tidak pula mereka histeria, tertekan, gundah, resah dengan meninggalkan harta mereka. Bahkan, mereka kuat dan tabah membina semula kehidupan mereka, dan akhirnya kembali berjaya menjadi antara yang terkaya di jazirah arab.
Mengapa?
Kerana mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT.
Kadangkala kita hairan melihat sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang tidak banyak wang seperti Abu Hurairah RA, Abu Bakr RA, Umar RA, Bilal bin Rabah RA. Mereka tidak pula sakit jiwa, mereka tidak pula tidak bersemangat, mereka tidak pula mencuri. Bahkan mereka tenang menjalani hidup, bahkan sanggup lagi memberikan infaq dan sedekah walau diri sendiri kesempitan.
Mengapa?
Kerana mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT.
Pastinya, orang-orang yang menjaga hubungan dengan Allah SWT ini, sering membersihkan diri mereka. Antara tanda kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, adalah kita sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepadaNya.
“Sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang sering bertaubat dan orang-orang yang membersihkan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.
Tidakkah kita melihat?



Penutup: Dapatkanlah ketenangan sejati. Sungguh, ia milik kita
Rasulullah SAW dan para sahabat nyata adalah contoh yang terbaik. Mereka memperolehi ketenangan sejati. Hatta badai cabaran yang tinggi juga tidak mampu menggoncangkan manusia yang memperolehi ketenangan hati ini.
Dan ketenangan hati ini adalah milik kita. Sebab itu Allah SWT menggesa kita mendapatkannya. Isyarat gesaan ini tersembunyi di dalam ayat-ayatNya.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabb kalian dalam keadaan berpuas hati lagi diredhai.” Surah Al-Fajr ayat 27-28.


Kenapa Allah menyeru jiwa-jiwa yang tenang? Kerana jiwa-jiwa yang tenang sahaja yang mampu kembali kepada Allah dalam keadaan diredhai. Jiwa-jiwa yang tenang sahaja mampu mengharungi segala ujian dan cabaran di atas dunia ini.
Maka apakah kita tunggu lagi? Motivasi meneruskan kehidupan ini dalam keadaan terbaik dan tertinggi, adalah dengan mendapatkan ketenangan hati. Ayuh!
“Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.
Bersihkan diri, rapati Ilahi, dapatkan ketenangan sejati.


credit to: langitIllahi 

    

0 comments: